Penentuan sepakan penalti hampakan skuad B-19 negara

Kuala Lumpur: Hasrat untuk mengukuhkan status selaku ‘Raja’ bawah 19 (B-19) rantau ini tidak kesampaian apabila skuad Harimau Muda negara tewas 3-4 dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dengan Vietnam di final Kejohanan Bolasepak Thanh Nien Antarabangsa B-19 di Stadium Binh Duong di Vietnam, malam ini.

Skuad kendalian Hassan Sazali Waras yang hadir dengan ‘pasukan kedua’ di saingan jemputan itu sememangnya harus diberi pujian apabila bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat 1-1, sebelum mengheret aksi ke penentuan penalti.



Tuan rumah tidak menunggu lama apabila meraih gol pertama pada minit ke-11 hasil tandukan Nguyen Van Tu yang menerima hantaran ketua pasukannya Khuat Van Khang.

Gol itu nyata mengejutkan kem negara yang kembali menyusun aksi dan Nazrin Nasir hampir menyamakan kedudukan tiga minit selepas itu, namun tandukannya sedikit tersasar.

Pada minit ke-23, Izrin Ibrahim berpeluang mencetak namanya sebagai penjaring, tetapi rembatan dari luar kotak penalti pula sedikit tersasar.





Skuad muda negara yang masih segar dengan kejayaan memenangi saingan AFF B-19 di Indonesia bulan lalu tampil lebih meyakinkan di babak kedua bagi memburu gol.

Peluang terbaik pada minit ke-60 melalui gerakan Khairi Suffian namun rembatan tidak tepat.

Kesabaran pemain muda negara akhirnya berbalas apabila tonggak gantian Azhad Harraz memanfaatkan hantaran lintang Rohisham Haiqal di minit ke-84, sekali gus mengheret aksi ke penentuan sepakan penalti.




Bagaimanapun, tuah lebih memihak tuan rumah apabila dua sepakan pasukan negara terkena tiang dan melambung tinggi sebelum tewas 3-4.