Messi tidak tersenarai calon Ballon d’Or

PARIS: Pemenang tujuh kali Ballon d’Or, Lionel Messi membayar harga yang mahal selepas melalui musim pertama yang kurang menyerlah bersama Paris Saint-Germain apabila dia tidak tersenarai dalam 30 pemain untuk anugerah terbesar bola sepak itu.

Lucy Bronze, yang juga naib juara pada 2019, ialah seorang daripada tiga anggota skuad England yang menang Euro, disenarai pendek untuk kategori wanita.

Messi, yang menang gelaran itu tahun lalu, sentiasa berada dalam senarai calon sejak 2006 dan selalu berada dalam kelompok tiga terbaik sejak 2007 kecuali pada 2018.

Bagaimanapun Messi, 35, tidak tersenarai pada 2022 selepas berpindah dari Barcelona ke ibu kota Perancis itu.



Perubahan format juga tidak membantu bintang Argentina itu dengan anugerah Ballon d’Or tidak lagi mengambil kira pemain terbaik dalam kalendar tahunan.

Sebaliknya ia berdasarkan rekod musim berkaitan “persembahan individu” dan “perwatakan penting dan mengagumkan” setiap calon mengikut kriteria ditetapkan.

Selepas meninggalkan Barcelona pada musim panas 2021, Messi gagal menggunakan kepintarannya di PSG yang terdesak mahu mendapatkan gelaran Liga Juara-Juara.

Penganjur Ballon d’Or menetapkan bahawa anugerah itu akan dilangsungkan di Paris pada 17 Oktober.





Rakan sepasukan Messi di PSG, Neymar juga tidak tersenarai selepas dia hanya menjaringkan 13 gol dalam 28 perlawanan musim lalu.

Ada calon lain dalam senarai juga mendatangkan kejutan.

Penyerang antarabangsa Perancis, Karim Benzema adalah calon pilihan selepas mengetuai Real Madrid menang gelaran ke-14 Liga Juara-Juara.

Penyerang Manchester United, Ronaldo, pemenang lima kali Ballon d’Or juga tersenarai sekali lagi tahun ini.

Benzema menyertai senarai 30 calon termaasuk rakan sepasukan, Thibaut Courtois, Casemiro; pemenang pada 2018, Luka Modric, Vinicius dan bekas pemain Chelsea, Antonio Rudiger.





Naib juara Liga Juara-Juara, Liverpool memiliki tujuh pemain, calon paling ramai berbanding mana-mana kelab.

Mereka memiliki Trent Alexander-Arnold, Luis Diaz, Fabinho, Sadio Mane yang kini berpindah ke Bayern Munich, Darwin Nunez, Mohamed Salah dan Virgil Van Dijk. – AFP