Gaji bukan punca kemerosotan Kedah – Sanusi

ALOR SETAR: Jumlah gaji yang diterima pemain dan jurulatih bukan menjadi punca kemerosotan prestasi pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam saingan Liga Super termasuk tersingkir dalam saingan Piala AFC 2022.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata ini kerana gaji yang diterima jurulatih dan pemain import pasukan itu lebih tinggi berbanding dengan pasukan yang menumpaskan KDA FC dalam saingan separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN, PSM Makassar.


Sebaliknya, beliau berkata keadaan itu mungkin disebabkan teknik dan strategi permainan yang tidak berkesan selain kesungguhan serta komitmen pemain yang perlu dipertingkatkan dalam setiap perlawanan.

“Pada aksi separuh akhir Zon Asia Tenggara Piala AFC 2022 di mana KDA FC tunduk 1-2 di tangan PSM Makassar di Bali, baru-baru ini, saya sempat menemui dan bertanyakan pengurusan pasukan itu mengenai gaji pemain dan jurulatihnya.
Stadium baharu mampu letak Kedah sebaris JDT

“Mereka (PSM Makassar) menggunakan jurulatih dari Portugal dan membayar gaji sekitar AS$10,000 (RM44,445) kita (KDA FC) bayar ‘double’ berbanding mereka untuk jurulatih kita, pemain import mereka pula paling tinggi dibayar kira-kira AS$15,000 (RM66,668), kita paling tinggi lebih daripada itu.




“Jadi saya tak fikir masalah pendapatan atau pun bayaran (gaji) pemain dan jurulatih menjadi punca kepada kemerosotan prestasi pasukan (KDA FC), tetapi mungkin dari segi teknik dan strategi atau benda-benda baharu yang perlu dihasilkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup sambutan Hari Belia Negara peringkat Negeri Kedah 2022 di sini, hari ini.
Untuk rekod, selain tersingkir dari saingan Piala AFC, pasukan Kedah turut gagal mempertahankan Piala FA yang dimenangi pada 2019.

Selain itu, KDA FC kini berada di tangga ketujuh saingan Liga Super di mana ketinggalan 21 mata berbanding pendahulu liga, Johor Darul Takzim (JDT).

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata sebagai pemegang saham dalam KDA FC, KFA sudah mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan pasukan berhubung prestasi tidak menentu skuad Sang Kenari ketika ini dan sudah dimaklumkan tindakan yang akan dan sedang diambil untuk memulihkan pasukan.




“Saya dengar rintihan daripada penyokong, peminat yang agak kecewa, saya sendiri pun rasa begitu, tapi seboleh-bolehnya kita berilah peluang kepada pasukan untuk memperbaiki diri hasil daripada tindakan yang telah dilakukan KDA FC,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukan jurulatih KDA FC Aidil Sharin Sahak pula, Muhammad Sanusi berkata perkara itu ada dibincangkan dengan pengurusan pasukan namun belum ada keputusan dibuat.

“(Kedudukan jurulatih) sedang diperbincangkan, oleh kerana kita dah swastakan, cuma kita pegang saham saja, sebagai pemegang saham kita pun berasa gusar juga dan suara kita pun perlu diberi perhatian, dan ada juga kita juga beri sumbangan-sumbangan untuk bayaran macam-macam.

“Ini kerana pasukan selain daripada pasukan negeri selatan itu, saya fikir semua pasukan negeri lain masih kepada sumbangan Persatuan Bola Sepak negeri masing-masing dan juga kerajaan negeri, semua bukan Kedah saja,” katanya.