RTM jadi penyiar rasmi Piala Dunia 2022 Qatar

Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan kejohanan bola sepak Piala Dunia 2022 Qatar secara percuma apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menjadi penyiar rasmi bagi acara sukan terbesar dunia itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebanyak 41 perlawanan akan disiarkan oleh RTM iaitu 27 perlawanan secara langsung termasuk perlawanan akhir dan 14 siaran tertunda melibatkan 130 jam siaran secara keseluruhan.



“RTM akan menyiarkan perlawanan melibatkan negara ranking tinggi yang mempunyai ramai peminat di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Menjelang Sepak Mula Piala Dunia 2022 Qatar sempena pelantikan RTM sebagai penyiar rasmi acara sukan itu, di sini pada Ahad.

Piala Dunia 2022 akan berlangsung dari 20 November hingga 18 Disember ini.

Menurut Annuar, Piala Dunia 2022 Qatar akan disiarkan menerusi tiga saluran televisyen iaitu TV2, TV Okey, Sukan RTM dan penstriman langsung melalui RTM Klik.

Katanya, RTM menanggung kos sebanyak RM32.5 juta bagi membolehkan Keluarga Malaysia mengikuti sukan bertaraf dunia itu secara percuma kali ini.

“Oleh itu, saya harap syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dapat turut berkongsi menanggung kos pembiayaan siaran bersama RTM,” katanya.





Annuar berkata, sejak 2002 iaitu selama 20 tahun RTM tidak putus membida hak penyiaran sama ada siaran langsung atau siaran tertunda bagi membolehkan rakyat Malaysia menikmati kejohanan empat tahun sekali itu.

Beliau berkata, bola sepak bukan hanya sekadar sukan tetapi industri yang besar dan mempunyai peminat rentas kaum serta negara.

“Piala Dunia mempunyai tontonan seluruh dunia yang cukup besar dalam menjana pendapatan tinggi bagi penajaan dan industri penyiaran”, katanya.

Menurut kenyataan yang diedarkan K-KOMM, persetujuan pembelian hak siaran ditawarkan syarikat Sport Media & Distributors Sdn Bhd dengan siaran pertama pada 20 Nov menyaksikan perlawanan antara Qatar dan Ecuador.

Pada program Ahad, RTM turut memperkenalkan enam pengacara sukan yang akan bertugas semasa siaran langsung tersebut iaitu Syafiq Asyraf, Rasdi Jumaat, Zackhi Suri, Jeed Zulkefli, Aizuddin Shah dan Mohd Nazri Shukri.




Menurut kenyataan itu, selain pengacara sukan, RTM akan turut menampilkan 12 pengacara jemputan terdiri daripada bekas pemain dan jurulatih kebangsaan yang akan memberi ulasan serta kupasan terhadap permainan perlawanan.

Piala Dunia 2022 Qatar dengan slogan ‘Now Is All’ akan berlangsung di lapan stadium rasmi di Qatar melibatkan 32 negara.

Pada edisi Piala Dunia 2018, RTM mendapat hak penyiaran bagi 41 daripada 64 perlawan antarabangsa itu dengan 27 daripadanya ditayang secara langsung, membabitkan kos keseluruhan sekitar RM30 juta. – Bernama.