FIFA Gantung India Kerana Campur Tangan Pihak Ketiga

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memutuskan untuk menggantung Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) ekoran campur tangan pihak ketiga dalam organisasi tersebut.

Perkara ini diumumkan oleh FIFA di laman web rasmi mereka dimana skuad kebangsaan India tidak boleh beraksi dalam mana-mana pertandingan yang dianjurkan oleh ahli FIFA seperti Piala Asia 2023 selain tidak boleh menganjurkan temasya Piala Dunia Wanita B-17 tahun.




“Biro Majlis FIFA telah sebulat suara memutuskan untuk menggantung AIFF berkuat kuasa serta-merta kerana terdapat campur tangan atau pengaruh daripada pihak ketiga, yang merupakan pelanggaran serius Statut FIFA.

“Penggantungan itu akan ditarik balik sebaik sahaja perintah untuk menubuhkan jawatankuasa pentadbir untuk mengambil alih kuasa Jawatankuasa Eksekutif AIFF telah dimansuhkan dan pentadbiran AIFF mendapat semula kawalan penuh terhadap hal ehwal harian AIFF.




“Penggantungan itu bermakna Piala Dunia Wanita B-17 2022, yang dijadualkan berlangsung di India pada 11-30 Oktober 2022, tidak boleh diadakan seperti yang dirancang. FIFA sedang menilai langkah seterusnya berhubung kejohanan itu dan akan merujuk perkara itu kepada Biro Majlis apabila perlu.

FIFA sentiasa berhubung secara membina dengan Kementerian Hal Ehwal Belia dan Sukan di negara tersebut dan berharap keputusan positif kes itu masih boleh dicapai,” dipetik dari laman web FIFA.





Selain pasukan kebangsaan, kelab India yang beraksi dalam saingan AFC Champions League (ACL) dan Piala Asia juga tidak dibenarkan untuk meneruskan aksi dalam saingan tersebut.

Sebelum ini, beberapa negara Asia pernah digantung oleh FIFA ekoran campur tangan pihak ketiga yang biasanya dari pihak kerajaan atau ahli politik seperti Indonesia, Kuwait dan Pakistan.

Indonesia dan Kuwait digantung selama dua tahun dan segala aktiviti bola sepak kedua negara ini terpaksa dihentikan seperti liga tidak boleh dijalankan dan pasukan kebangsaan tidak boleh beraksi dalam perlawanan persahabatan dan juga kejohanan rasmi. VocketFC