KDA FC kesal ahli keluarga pemain, jurulatih dikecam

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengambil perhatian serius terhadap kecaman yang dilontarkan sebilangan penyokong ke atas pegawai dan pemain termasuk keluarga mereka susulan prestasi menurun Sang Kenari dalam aksi Liga Super musim ini.

Penaung KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata pihaknya kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang cuba melepaskan ‘geram’ dengan melakukan cemuhan serta kecaman yang disifatkannya sebagai di luar budaya bola sepak di negara ini.


“Kita mengambil perhatian yang agak serius terhadap sebahagian penyokong yang agak melampaui batas dengan membuat gangguan serta kecaman kepada pegawai dan pemain, kerana tindakan ini akhirnya boleh meruntuhkan keharmonian untuk pasukan Kedah.

“Gangguan berkenaan melarat sehingga ada yang menghubungi pemain dan jurulatih termasuk ahli keluarga mereka dengan unsur mengacau sehingga minda mereka tertekan.

“Saya rasa ini sesuatu yang tak sihat sebab kita mahu mereka rasa yakin untuk beraksi tanpa ada sebarang ugutan-ugutan dan sebagainya, dan ini bukan budaya yang baik dan bukan budaya kita dalam arena bola sepak yang sihat.





“Mereka perlu bermain dalam keadaan tenteram dan tenang, saya harap keluarga mereka dan jurulatih tidak diganggu dalam sebarang komunikasi yang tak sewajarnya,” kata Mohd Daud.

Mohd Daud juga memaklumkan pihaknya sedar akan kesan yang diterima pasukan pada ketika ini dan akan mengambil langkah lebih berhati-hati dalam menangani situasi itu.

“Walaupun kita rasa keadaan masih terkawal, ada dua tiga perkara yang dimaklumkan agak melampaui batas dan telah masuk dalam bidang yang bukan bidang mereka seperti hingga menganggu pemain dan juga keluarga jurulatih,” katanya.

Sementara itu seorang penyokong tegar Kedah yang dikenali sebagai Puaka Jerai telah memuat naik peringatan di laman media sosialnya berkaitan gangguan dan kecaman yang diterima ahli keluarga pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak.





“Saya mendapat perkhabaran bahawa keluarga jurulatih kita Aidil Sharin Sahak turut menerima kecaman daripada segelintir penyokong yang tidak bertanggungjawab sehinggakan anak-anak dan isteri Aidil menerima tekanan secara langsung.

“Saya sangat berharap supaya kecaman dan tohmahan terhadap keluarga ini dapat dihentikan serta merta kerana kita tidak boleh pandang hanya dari satu sudut sahaja sebaliknya kita perlu lihat dari semua sudut di atas kemerosotan pasukan kita pada tahun ini. Masalah kita bukan berpunca daripada anak dan isteri beliau,” kata Puaka Jerai.

Kedah, naib juara Liga Super pada musim 2020 dan 2021, kini menduduki tangga kelapan Liga Super.