Stadium Nasional gelanggang final Piala FA 2022

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akhirnya mengumumkan Stadium Nasional, Bukit Jalil dipilih sebagai venue final Piala FA antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 10 September ini.

Ini susulan permohonan MFL untuk menggunakan Stadium Nasional mendapat kelulusan daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), hari ini selepas badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) beserta pengurusan TFC dan JDT membuat pemeriksaan teliti mengenai keadaan padang stadium itu bagi final edisi ke-32 Piala FA.



Sebelum ini, PSM mengumumkan penutupan Stadium Nasional bagi sebarang aktiviti bola sepak untuk kerja penyelenggaraan termasuk baik pulih padang.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam menjelaskan pemilihan venue itu turut memberi penekanan daripada segi pengelolaan perlawanan, penyiaran, komersial dan juga kapasiti stadium yang akan membolehkan setiap finalis menjana pendapatan sebanyak mungkin daripada penganjuran perlawanan akhir ini.

“Pihak MFL sudah mengadakan perbincangan dengan wakil PSM sebelum ini untuk memeriksa serta mendapat maklumat terkini mengenai keadaan padang Stadium Nasional dan kami dimaklumkan bahawa Stadium Nasional bersedia untuk menjadi venue perlawanan akhir Piala FA kali ini.





“Antara elemen yang menjadi perhatian MFL adalah keadaan padang Stadium Nasional dan kami mendapat jaminan daripada PSM bahawa mereka komited dan akan memastikan penjagaan padang di tahap terbaik menjelang aksi kemuncak itu nanti.

“Buat masa ini, SNBJ satu-satunya stadium yang mampu memuatkan 80,000 penyokong dalam satu-satu masa dan berada dalam keadaan yang selamat untuk digunakan. Ini amat penting kerana kita tahu permintaan penyokong kedua-dua pasukan amat tinggi untuk menyaksikan final di stadium.




“Selain itu, MFL juga menjemput wakil kedua-dua pasukan untuk memeriksa keadaan padang pada 12 Ogos lalu bersama dengan pihak pengurusan PSM bagi mendapatkan pandangan serta jaminan daripada PSM sendiri mengenai penyediaan padang Stadium Nasional untuk perlawanan akhir nanti.

“Hasil pertemuan itu, semua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam memastikan keadaan padang di tahap terbaik. MFL juga tidak boleh berkompromi dalam aspek keselesaan dan keselamatan dan kita sedia maklum bahawa Stadium Nasional memiliki fasiliti terbaik di dalam dan di luar termasuk akses pengangkutan awam ke venue ini,” katanya.