Aidil kecewa Kedah gagal manafaat peluang

ALOR SETAR: Setelah mencatat tiga kekalahan berturut-turut termasuk pada aksi separuh akhir Zon Asean Piala AFC, Kedah Darul Aman (KDA) FC terus kempunan untuk mencipta kemenangan.



Kali ini, dalam perlawanan Liga Super menentang Sabah FC, pasukan pelawat berjaya mencuri satu mata di Stadium Darul Aman, malam semalam.

Jaringan awal Ronald Ngah Wanja pada minit keenam tidak cukup untuk memastikan Sang Kenari meraih tiga mata berharga walaupun keputusan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.





Ketika permainan waktu sebenar berbaki 10 minit, pemain sayap Sabah, Farhan Roslan memusnahkan impian bekas pasukannya apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-84.

“Saya berbangga dengan persembahan pemain. Namun mereka gagal menyempurnakan peluang gol yang terhidang. Kami patut mendapat 3 mata malam ni tetapi dalam bola sepak jika gagal mengambil peluang amat merugikan”, ujar Aidil selepas tamat perlawanan.





Manakala Kim Swee menyatakan anak buahnya banyak melakukan kesilapan pada awal perlawanan. Walaupun berjaya mendominasi perlawanan beliau tetap berpuas hati dengan keputusan seri di tempat lawan.