Urawa belasah JDT di Saitama

Kuala Lumpur: Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta kejutan berdepan Urawa Red Diamonds dalam pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Asia (ACL) tidak menjadi apabila dibelasah 0-5 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Saitama, sebentar tadi.



Jelas sekali Urawa Red Diamonds berada dalam kelas tersendiri apabila ‘mengajar’ juara lapan kali berturut-turut Liga Super itu dengan permainan pantas sekali gus berjaya memporak peranda pertahanan JDT bagi memastikan kemenangan milik mereka.

Tuan rumah tidak perlu menunggu lama untuk memecah kebuntuan gol apabila Alexander Scholz berjaya meletakkan Urawa di hadapan selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit kelapan perlawanan.





Skuad bimbingan Ricardo Rodriguez Suarez terus mengasak kubu lawan sebelum menambah akaun gol menerusi jaringan kedua yang disudahkan ayam tambatan mereka David Karlsson pada minit ke-19.

Karlsson terus menambah derita JDT apabila dia menjadi penyumbang gol ketiga tuan rumah pada minit 39 sekali gus kedudukan kekal 3-0 hingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan pengendali JDT Hector Bidoglio membuat empat tukaran pemain dengan memasukkan Afiq Fazail, Ramadhan Saifullah, Syahmi Safari dan Safawi Rasid bagi menguatkan lagi jentera serangan.





Peluang terbaik JDT hadir pada minit ke-60 apabila tandukan Fernando Forestieri hampir menerjah gol namun diselamatkan oleh pertahanan lawan. Kealpaan benteng JDT yang gagal menyekat kemaraan jentera serangan Urawa terus dihukum dengan dua gol lagi masing-masing dijaringkan Kasper Junker pada minit akhir perlawanan untuk kedudukan 5-0.

Keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan langkah JDT untuk ke pusingan seterusnya terhenti selepas tewas dalam saingan tertinggi kelab Asia itu.

Kekalahan terbabit juga mengulangi episod malang buat JDT yang sebelum ini turut tewas 0-5 kepada kelab gergasi Jepun, Kawasaki Frontale pada kempen Liga Juara-juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim April lalu.