Kekalahan di tangan JDT melucukan – Hodak

KUALA LUMPUR: Kemenangan tipis 1-0 yang dilakar KL City FC ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) cukup untuk memberi isyarat kepada pasukan lawan supaya jangan ‘bermimpi’ apabila bertandang ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Pengendali skuad Warga Kota, Bojan Hodak menegaskan keputusan itu sememangnya amat penting untuk pasukannya apatah lagi dengan rekod memberangsangkan yang dilakar anak buahnya setiap kali beraksi di gelanggang keramat itu.


“(Ini) kemenangan yang amat penting dan kita tidak mahu pasukan lawan mengatakan yang mereka bertandang ke sini (Cheras) untuk mendapatkan tiga mata.

“Kita tidak tewas di sini pada tahun lalu tetapi kita tewas di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada tahun ini. Ia perlawanan yang lucu dengan 700 kad kuning dan satu kad merah.

“Kita juga tewas di tangan Sri Pahang FC tetapi itu mungkin satu kejutan. Sudah tentu kita kadangkala akan tewas di laman sendiri tetapi setiap kali kita di sini, kita mendominasi perlawanan,” kata Hodak selepas tamat perlawanan malam tadi.





Terdahulu, KL City FC menyekat rentak kemenangan dalam empat perlawanan yang dilakar Negeri Sembilan selepas berjaya menewaskan pelawat 1-0 pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Jaringan Paulo Josue yang menyudahkan sepakan sudut Zhafri Yahya di penghujung babak pertama sudah cukup untuk tuan rumah mengutip mata penuh di laman sendiri.





Mengulas mengenai pertembungan itu, pengendali dari Croatia itu mengakui KL City FC berhak menang dengan ‘kematangan’ yang ditunjukkan oleh anak buahnya bermula dari minit pertama sehinggalah wisel penamat dibunyikan.

“Perlawanan yang menarik kerana kedua-dua pasukan sangat fizikal dan rajin. Cuma padang tidak berapa baik kerana bola melantun dan sukar untuk dikawal dan lawan bermula dengan baik.

“Lima hantaran pun, kita tidak dapat sempurnakan pada awal permainan tetapi semuanya bertambah baik apabila kita mendapat gol pertama. Kita seharusnya mematikan perlawanan dengan dua atau tiga peluang pada babak kedua tetapi tidak berjaya,” katanya.