KL City membara jumpa Makassar aksi Piala AFC

KUALA LUMPUR: Kemenangan ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi Liga Super bukan setakat memberikan tiga mata buat KL City FC malah ia memberi tonik terbaik untuk mereka berentap dengan PSM Makassar pada final Piala AFC 2022 bagi Zon ASEAN, Rabu ini.

Situasi itu diakui pengendali skuad Warga Kota, Bojan Hodak yang menjelaskan kemenangan menentang NSFC yang juga pasukan ketiga terbaik liga ketika ini, menyuntik lagi keyakinan buat anak buahnya dalam misi mencipta sejarah di pentas AFC musim ini.



“Perlawanan ini (menentang NSFC) memang penting tetapi perlawanan di Vietnam (lawan Viettel) pun sama penting untuk keyakinan pemain. Kemenangan ini meningkatkan lagi keyakinan kita sebelum menentang PSM Makasar nanti.

“Sudah tentu, ini satu lagi perlawanan yang sukar dan ia aksi yang berbeza berbanding pertemuan di peringkat kumpulan sebelum ini. Persediaan mereka lebih mantap tetapi kita juga semakin bertambah baik.





“Peluang seimbang tetapi saya harap penyokong KL City FC dapat hadir beramai-ramai untuk memberi sokongan sekali gus memberi kelebihan kepada kita sama seperti PSM Makassar sebelum ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hodak beranggapan penyerang baharu mereka, Jordan Mintah masih memerlukan masa untuk benar-benar serasi sekali gus dapat memperagakan ‘belangnya’ bersama pasukan itu.




“Dia menjaringkan dua gol menentang Kedah Darul Aman (KDA) jadi dia adalah pemain yang baik. Kita menukar sistem untuk dia, jadi mungkin pemain memerlukan masa untuk memahami sistem baharu ini.

“Apa yang penting adalah kita menang. Jadi pada saya, ia bukanlah satu masalah,” katanya.