Tewas lagi, Selangor tidak lagi menggerunkan

Petaling Jaya: Gelaran ‘King Malaya’ tampaknya tidak lagi menggerunkan lawan apabila prestasi Selangor FC terus merudum dan terbaharu tewas di tangan Petaling Jaya City FC (PJ City) 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, malam tadi.

Kekalahan itu cukup perit dan memalukan buat skuad Red Giants yang memiliki sejarah cukup gemilang dalam arena bola sepak negara suatu ketika dulu.



Namun kini pasukan itu agak mudah untuk ditewaskan oleh mana-mana pasukan dan kekalahan kepada PJ City ini adalah yang keempat berturut-turut dalam saingan Liga Super.

Selangor yang dibimbing Nidzam Jamil selaku pengendali sementara turut tidak mampu mengubah nasib skuad Merah Kuning selepas mengambil pasukan itu bulan lalu di tangan Michael Feichtenbeiner yang digugurkan daripada pasukan.





Sebaliknya PJ City yang menghuni tangga ke-10 liga lebih bernafsu untuk memenangi perlawanan sekali gus memberi tamparan hebat buat Selangor.

Dalam aksi itu, kedua-dua pasukan agak buntu mencari gol di babak pertama untuk menamatkan aksi tanpa jaringan.





Begitupun, PJ City yang dilatih P Maniam tampil lebih bertenaga di 45 minit babak kedua dan hasilnya mereka memecah kebuntuan menerusi jaringan Darren Lok di minit ke-58.

Selangor cuba mencari gol penyamaan namun segala usaha berjaya dihalang benteng pertahanan PJ City untuk menghadiahkan mimpi ngeri buat anak didik Nidzam itu.