Tan Cheng Hoe pilih Perak

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe bakal kembali menguruskan pasukan dimana beliau dikaitkan dengan pasukan Perak bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana Cheng Hoe difahamkan memilih Perak bagi saingan musim 2022.


Sebelum ini, Cheng Hoe dikaitkan dengan salah sebuah kelab di Lembah Klang iaitu Selangor dimana menurut khabar angin yang beredar, beliau menjadi pilihan untuk menggantikan ketua jurulatih skuad Gergasi Merah sebelum ini iaitu Michael Feichtenbeiner.

Akan tetapi, Tan Cheng Hoe terus menepis khabar angin tersebut dimana beliau menegaskan kini sedang berehat dan banyak meluangkan masa bersama keluarga selepas meninggalkan skuad kebangsaan.





“Perkara itu tidak sahih pun. Rumours sahaja. Sekarang ini saya hanya berehat dan meluangkan masa dengan keluarga. Dalam masa terdekat pun saya tiada perancangan apa-apa. Kalau ada yang betul-betul serius saya akan fikirkan untuk latih tapi setakat ini tiada lagi,” katanya.

Kali terakhir Tan Cheng Hoe menguruskan pasukan Liga Malaysia ialah ketika beliau mengendalikan pasukan Kedah Darul Aman pada musim 2017 sebelum diserap masuk ke dalam staf kejurulatihan pasukan negara yang ketika itu diterajui oleh Nelo Vingada.





Bersama Kedah, Cheng Hoe membimbing pasukan itu memenangi gelaran Liga Premier pada 2015 disusuli dengan Piala Malaysia pada 2016 dimana ketika itu Kedah menewaskan Selangor menerusi penentuan sepakan penalti di pentas akhir.

Pada musim 2017, Kedah berjaya memenangi Piala Sumbangsih dimana mereka menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa sebenar permainan. – Vocket FC