Darren Lok pamer bisa penyerang tempatan

Kuala Lumpur: Tonggak PJ City, Darren Lok boleh dikatakan penyerang tempatan terbaik di Liga Malaysia setakat ini apabila meledak 10 gol, sekali gus bersaing dengan awang import sebagai penjaring terbanyak.

Pemain berusia 31 tahun itu berada di tahap terbaik apabila jaringan tunggalnya memastikan PJ City membawa pulang tiga mata penting menumpaskan Selangor FC 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin.


Menurut Darren, dia gembira nasib menyebelahinya musim ini kerana tidak ditimpa kecederaan serius yang membuka ruang untuk dia sentiasa bermain dalam kebanyakan perlawanan.

“Musim ini menjadi antara detik terbaik saya kerana dapat beraksi lebih kerap dan tidak banyak ditimpa kecederaan dan mampu menjaringkan 10 gol secara keseluruhan (dua gol di Piala FA).





“Biarpun musim ini tidak banyak mendapat bantuan bagi menjaringkan gol, saya dapat memanfaatkan segala peluang yang ada serta mematangkan lagi corak permainan.

“Saya ada sasaran berapa jaringan mahu dilakukan, tetapi saya mahu rahsiakan untuk diri sendiri, maaf saya tidak boleh beritahu buat masa ini,” katanya.




Musim lalu, Darren Lok hanya menjaringkan enam gol dengan tiga gol masing-masing di Liga Super dan Piala Malaysia selepas tidak boleh bermain dalam 13 aksi Liga Super ekoran kecederaan di bahagian fibula.

Darren kini berada di tangga kelima penjaring terbanyak Liga Super dengan 8 gol di belakang Bergson da Silva (17 gol), Fernando Forestieri (12 gol), Caion (11 gol) dan Ronald Ngah (9 gol).