Penyokong KL City, Makassar bergaduh

KUALA LUMPUR: Insiden ‘samseng bola sepak’ tempatan kini ‘memasuki’ arena antarabangsa selepas berlakunya kekecohan membabitkan penyokong KL City FC dan PSM Makassar selepas tamat final Piala AFC Zon ASEAN, malam semalam.



Insiden itu jelas mencemari kemenangan skuad warga kota yang berjaya melangkah ke separuh akhir Piala AFC Antara Zon selepas menumbangkan kelab dari Indonesia itu dengan keputusan 5-2.

Bukan sahaja pergaduhan antara penyokong, malah bas yang membawa penyokong pelawat turut dilontar dengan batu.

Portal Indonesia, IDenesia melaporkan dua penyokong PSM Makassar mengalami kecederaan akibat diserang penyokong KL City FC ketika mahu meninggalkan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.




Portal terbabit turut mendakwa puluhan penyokong tuan rumah melempar objek ke arah bas yang dinaiki penyokong PSM Makassar sehingga menyebabkan cermin bas pecah.

Sebagai rekod, insiden ‘samseng bola sepak’ kembali menjadi jadi dalam arena bola sepak tempatan sekali gus menyaksikan langkah sewajarnya patut diambil Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Insiden terbaharu tercetus di Stadium Hang Jebat membabitkan insiden tumbuk menumbuk antara penyokong Melaka United (MU) dan Sri Pahang FC.

Sebelum kejadian terbabit, kekecohan turut berlaku di Stadium Sultan Muhammad ke IV membabitkan penyokong Kelantan FC dan juga Perak FC sehingga menyaksikan bas pemain Perak FC dibaling dengan objek seperti batu dan botol.




VIDEO 1

VIDEO 2