Erling Haaland mula pamer taring sebenar

MANCHESTER, United Kingdom: Erling Haaland meledak hatrik pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk memberi inspirasi kebangkitan Manchester City daripada ketinggalan dua gol sebelum menewaskan Crystal Palace 4-2 malam tadi.

Skuad kendalian Pep Guardiola goyah pada babak pertama di Stadium Etihad apabila gol sendiri John Stones dan tandukan Joachim Andersen meletakkan Palace di landasan bagi meraih kemenangan mengejut.


Ia kali keempat dalam enam perlawanan terakhir EPL, City ketinggalan dengan dua gol.

Namun mereka tidak tewas dalam tiga aksi dan menang juga kali ini menerusi tindakan cemerlang Haaland.

Selepas Bernardo Silva kembali merapatkan jaringan pada babak kedua, Haaland meledak gol pertamanya di laman sendiri buat City semenjak berpindah dari Borussia Dortmund.





“Perlawanan seperti inilah sebabnya saya berada di sini, untuk menukar keadaan ketika kami berdepan kesukaran,” kata Haaland.

“Sudah tentu apabila anda melihat di padang, saya gembira dan saya rasa ada hubungan bagus di sekeliling saya. Ia mengambil masa tetapi saya tahu ia akan datang dan akan menjadi lebih baik.

“Kami bermain sesama kami. Kami tidak kisah siapa yang menjaringkan gol, ia mengenai kemenangan dan mentaliti kemenangan.”





Ia kali kedua berturut-turut City terselamat selepas ketinggalan 3-1 sebelum seri 3-3 di Newcastle hujung minggu lalu.

Juara bertahan itu masih jauh daripada prestasi sebenar mereka namun kemenangan ketiga daripada empat aksi awal menyaksikan mereka berkedudukan kedua di belakang Arsenal. – AFP