Nafuzi terbuka kepada sebarang rundingan

KUALA NERUS: Mohd. Nafuzi Zain tidak pasti apakah khidmatnya masih diperlukan oleh Terengganu FC (TFC) musim depan dan bersedia membuka pintu rundingan dengan mana-mana pasukan.

Pengendali skuad Penyu itu bagaimanapun menafikan sudah menerima tawaran selepas dikaitkan dengan perpindahan ke Selangor FC.

Menurut Nafuzi, belum ada tawaran diterima daripada mana-mana kelab bagi mendapatkan khidmatnya pada saingan Liga Malaysia (Liga M) 2023.



Katanya, masih terlalu awal untuk membincangkan perkara itu dan fokusnya kini hanya membawa Terengganu mengharungi baki saingan liga musim ini.

“Saya belum terima atau tandatangan tawaran termasuk daripada Terengganu sendiri, malah kami tidak pernah berbincang mengenai persiapan pasukan menghadapi saingan 2023.





“Perjalanan musim ini masih panjang buat Terengganu dengan baki perlawanan liga, final Piala FA serta saingan Piala Malaysia akan ditempuh dan itu adalah keutamaan saya ketika ini.

“Khabar angin adalah asam garam dan lumrah dalam bola sepak, namun ia tidak menjejaskan tumpuan pasukan menjelang pertemuan Melaka United,” katanya ketika ditemui semalam.

Bagaikan masih berteka-teki, Nafuzi mengakui tidak dapat meramal jika khidmatnya masih diperlukan Terengganu walaupun sudah mencapai sasaran membawa pasukan itu ke final Piala FA.




Turut terdapat desas-desus mendakwa masa depan beberapa pemain utama sama ada kekal bersama TFC atau ‘mengangkat kaki’ bergantung kepada destinasi jurulatih berusia 44 tahun itu.

“Jika ada pihak atau pasukan mahu berbincang, saya sedia terima sebagai seorang yang profesional dan ianya satu penghargaan kerana menandakan kerja saya mendapat perhatian.

“Buat masa ini, saya mahu beri yang terbaik untuk TFC menentang Melaka United dan kemudian persiapan final Piala FA bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT),” jelasnya.