Tan Cheng Hoe mahu latih pasukan luar negara

PETALING JAYA: Tan Cheng Hoe menafikan spekulasi yang me­ngaitkan dia bakal membim­bing Perak FC dalam Liga Super musim depan, sebaliknya bekas pengendali Harimau Malaya itu tidak menolak untuk melatih kelab luar negara.

Selain Bos Gaurus, Cheng Hoe turut dikaitkan sebagai calon ­untuk membimbing juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor yang kini ibarat hilang arah.



Menurut Cheng Hoe, 54, ­beliau sudah lama memasang impian untuk melatih pasukan luar negara, mengikuti jejak Irfan Bakti Abu Salim dan Abdul Rahman Ibrahim.

Katanya, sudah lama jurulatih Malaysia tidak melatih kelab luar dan beliau teruja jika mendapat peluang tersebut.

Biarpun tidak menyebut destinasi sasarannya, namun Cheng Hoe menegaskan antara ciri yang ditetapkan sebelum memilih sesebuah kelab adalah kestabilan pengurusan di samping misi serta visi jelas.

“Memang ada perbinca­ngan setakat ini (dengan beberapa kelab) tetapi saya tidak akan sebut nama kelab itu.





“Saya bersedia untuk ber­khidmat jika ada yang menawarkan peluang menjadi jurulatih pada masa akan datang.

“Sebenarnya, kalau ada tawaran daripada negara-negara Asia Tenggara pun saya terima. Itu impian yang sudah lama saya simpan.

“Saya lihat sudah lama jurulatih Malaysia tidak membim­bing kelab atau pasukan luar negara.




“Saya tidak menyasarkan mana-mana negara tetapi selagi dalam rantau Asia Tenggara, saya okay. Paling penting kedua-dua pihak setuju dengan terma dan syarat yang diingini.

“Bagi saya, pengurusan perlu ada perancangan jelas dengan hala tuju kelab. Jika kedua-dua matlamat kami selari, saya tiada masalah untuk berkhidmat dengan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Awal minggu ini, Cheng Hoe, yang pernah membimbing Kedah dari 2014 hingga 2017 dikhabarkan sudah mencapai perjanjian untuk membimbing Perak FC, pasukan yang kini bergelut dalam Liga Perdana.

Beliau turut dikaitkan ­dengan Selangor FC, menggantikan Michael Feichtenbeiner, namun Cheng Hoe hanya tertawa mendengar semua spelukasi melibatkan dirinya.