Hatrik Bergson bantu JDT belasah Melaka United

Iskandar Puteri: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Super selepas meratah Melaka United (MU) 4-0 pada aksi tertunda di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan JDT kini mengumpul 41 mata dan mengekalkan rekod tanpa kalah, sekali gus memberi bayangan pasukan kendalian Hector Bidoglio semakin hampir menggenggam kejuaraan liga buat kali kesembilan berturut-turut.





Bermula umpanan Corbin Ong pada minit ke-12 di posisi sayap kiri, penyerang prolifik JDT, Fernando Forestieri melencongkan bola tepat ke penjuru kiri gol menewaskan Brian See untuk meletak tuan rumah mendahului 1-0.

JDT mencipta gol kedua apabila Forestieri melorongkan bola tepat kepada Bergson Da Silva yang pantas merembat bola di dalam kotak penalti dan menewaskan Brian sekali lagi pada minit ke-32.




Gol ketiga menjelma buat JDT pada minit ke-42 apabila Corbin mengumpan kepada Bergson yang sempat mendada bola sebelum merembat bola leret tepat ke penjuru kiri gawang.

Bergson melengkap jaringan hatrik ketika aksi berbaki lima minit apabila menyudahkan bola umpanan pemain gantian Syafiq Ahmad dan jaringan itu memastikan kemenangan bergaya 4-0 menewaskan Melaka United.