Menang ke atas Penang FC kembalikan keyakinan Kedah

Alor Setar: Kejayaan Kedah Darul Aman (KDA) FC meraih tiga mata berharga dengan menundukkan Penang FC 1-0 dalam aksi Liga Super malam tadi dapat mengembalikan keyakinan pasukan selepas prestasi kurang memberangsangkan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Pengendali KDA FC Aidil Sharin Sahak berpuas hati dengan prestasi pemain-pemainnya dalam saingan di Stadium Darul Aman di sini.



Katanya, penampilan lima pemain import dalam perlawanan itu juga berjaya meningkatkan prestasi pasukan dan KDA FC kini dianggapnya lengkap untuk meneruskan saingan serta mencipta lebih banyak kemenangan.

“Saya harap dengan kemenangan ini dapat mengembalikan semula keyakinan, ia juga dianggap sebagai permulaan kepada pasukan yang kini lengkap dengan lima pemain import dapat diturunkan.





“Sebagaimana kita tahu, pasukan Kedah sebelum ini tidak lengkap tanpa beberapa pemain import, jadi saya harap Kedah kembali menjadi pasukan yang kuat untuk bersaing dalam liga,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu malam tadi.

Dalam perlawanan itu, KDA FC menang hasil jaringan tunggal oleh Wanja Ronald Ngah.

Menurut Aidil Sharin, pasukannya kini perlu fokus menghadapi lawan seterusnya iaitu Melaka United FC di Stadium Hang Jebat pada 9 September yang dianggapnya sebagai perlawanan yang sengit dan mencabar.




Sementara itu, pengendali Penang FC Zainal Abidin Hassan menzahirkan kekecewaannya dengan keputusan malam tadi dan mendakwa Ngah berada pada kedudukan ofsaid sebelum jaringan dilakukan pada minit ke-55.

“Saya perlu melihat kembali jika benar kita akan buat surat protes, itu amat penting,” katanya.

Zainal Abidin berkata secara keseluruhan, anak buahnya telah mempamerkan permainan yang baik, namun gagal memanfaatkan beberapa peluang untuk membolosi gawang lawan.