Selangor puas hati ikat JDT

Kuala Lumpur: Sikap positif dan komitmen tinggi setiap pemain Selangor FC adalah kunci kejayaan mengikat pendahulu Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan 1-1 yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Jelas pengendali sementara Selangor, Nidzam Jamil, beliau berpuas hati dengan kesungguhan pemain sepanjang 90 minit yang disifatkan sebagai persembahan terbaik sejak beberapa aksi lalu.


Malah, kejayaan mengutip satu mata itu juga menyaksikan anak didiknya mengakhiri badi kekalahan empat aksi liga sebelum ini.

“Sikap dan komitmen daripada pemain…kita agak berpuas hati mungkin ada perkara-perkara yang kita perlu tingkatkan, tapi secara keseluruhan JDT bermain bagus dan aksi ini bagus untuk ditonton peminat.

“Kita boleh belajar sesuatu dari segi taktik dan personaliti serta karakter pemain, jadi ia sangat baik,” katanya selepas aksi itu.





Dalam perlawanan itu, skuad Red Giants bangkit daripada ketinggalan di babak kedua untuk meraih satu mata sekali gus menghalang anak didik Hector Bidoglio menuai tiga mata.

Skuad Harimau Selatan mendahului menerusi tendangan penalti Bergson da Silva di minit 33, sebelum Herlison Caion menyamakan kedudukan di minit 65.

Ujarnya lagi, beliau memuji Caion yang bermain baik untuk membantu pasukan meraih gol penyamaan itu.




“Saya rasa Caion main bagus malam ini (malam tadi), dia jaringkan gol dan selepas beberapa minggu yang suram lepas kalah Piala FA, jadi kita perlukan ini.

“Kita perlukan mata ini untuk tambah keyakinan diri dan kepercayaan diri,” katanya yang dilantik bagi menggantikan Michael Feichtenbeiner untuk sementara selepas aksi hambar Selangor musim ini.