KL City mara ke separuh akhir Piala AFC

Kuala Lumpur: Pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) mencipta sejarah tersendiri apabila mara ke final Piala AFC Antara Zon selepas menewaskan kelab India, ATK Mohun Bagan, 3-1, malam ini.

Beraksi di Stadium Vivekananda Yuba Bharati Krirangan, Kolkata, menyaksikan pasukan KL City menunjukkan taring sebenar mereka di saat akhir perlawanan untuk memastikan kemenangan.


Separuh masa pertama menyaksikan tuan rumah yang dibimbing Juan Ferrando lebih menguasai perlawanan apabila kerap melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan.

Namun, pertahanan KL City yang ditunjangi Irfan Zakaria dan Kamal Azizi boleh dikatakan cukup kebal apabila menafikan setiap serangan ATK Mohun Bagan, sekali gus menyaksikan separuh masa pertama berakhir dengan 0-0.

Bersambung babak kedua perlawanan menyaksikan tuan rumah terus melancarkan serangan berbahaya bagi mencari gol pendahuluan.

Namun kealpaan benteng pertahanan ATK Mohun Bagan dihukum oleh Paulo Josue untuk meletakkan pasukan pelawat di hadapan 1-0 pada minit ke-61




Tersentak dengan jaringan terbabit, tuan rumah berusaha mencari jaringan penyamaan dan gol terbabit hadir pada minit ke-90 menerusi Fardin Molla untuk kedudukan 1-1.

Percaturan pengendali KL City, Bojan Hodak yang terkenal dengan ‘taktikal sulit’ dengan membawa masuk Fakhrul Aiman dan Romel Morales ternyata memberi suntikan di bahagian jentera serangan.





Hasilnya, Fakhrul dan Morales menambah dua lagi gol untuk KL City pada masa kecederaan, sekali gus memastikan kedudukan 3-1.

Kedudukan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan, sekali gus menyaksikan KL City mencipta sejarah buat pertama kali mengesahkan tempat ke final Antara Zon.