Forestieri dedikasi kejayaan menang Piala FA kepada Sanusi

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendapat ‘hadiah’ istimewa apabila penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri mendedikasikan kejayaan menjulang Piala FA kepada Menteri Besar Kedah itu.

Menerusi hantaran pada akaun Instagramnya, bekas penyerang Udinese itu turut mengucapkan terima kasih kepada Sanusi atas ‘sokongan’ yang diberikan sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan berjaya menjulang Piala FA buat kali kedua.


“Ini untuk sahabat, Muhammad Sanusi Md Nor. Terima kasih atas sokongan ada. Nikmati piala ini,” katanya.

Malah ketika ditemui media selepas tamat perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Forestieri mengesahkan hantaran terbabit sememangnya 100 peratus ditujukan kepada Sanusi.





“Saya hormati semua orang yang menyookong sesuatu pasukan. Tetapi apabila anda sudah mengatakan anda menyokong Terengganu FC (TFC), anda sokong TFC dan tidak (katakan) seluruh Malaysia perlu menyokong TFC.

“Tetapi perkara ini bagus kerana apabila saya masuk ke padang, saya mahu menang (Piala FA) hanya untuk dia (Sanusi). Jadi piala ini untuk dia,” katanya.





Terdahulu, menjelang aksi final Piala FA, tular di media sosial klip video berdurasi 21 saat memaparkan Muhammad Sanusi menggayakan jersi TFC dalam satu majlis.

Klip video itu kemudiannya mengundang pelbagai reaksi daripada netizen namun Sanusi menyatakan sokongan diberikan itu adalah kerana isterinya berasal dari negeri Pantai Timur itu.