Cools transit empat bulan sebelum sertai JDT?

Kuala Lumpur: Benarkah skrip sama digunakan ke atas tonggak kacukan negara, Dion Cools ‘ditransitkan’ sementara bersama kelab divisyen satu Republik Czech, FK Jablonec sebelum menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) musim depan?.

Jika benar ia seolah ‘jalan cerita’ sama yang pernah dilalui beberapa pemain sebelum ini seperti Mohamadou Sumareh yang pernah ‘diparkir’ sementara di Liga Thailand apabila pemain naturalisasi negara itu menamatkan kontrak dengan Pahang dua musim lalu.



Segala kemungkinan itu boleh berlaku selepas pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri memuatnaik perkara terbabit di laman story Instagram miliknya, sebelum ia dipadamkan selepas itu.

Dalam perkongsian itu, Tunku Ismail mendedahkan Cools akan beraksi buat FK Jablonec selama empat bulan sahaja dan dijangka menyertai skuad Harimau Selatan pada Januari depan.




Langkah berkenaan diambil bagi memastikan tonggak pertahanan skuad Harimau Malaya itu sentiasa berada pada prestasi terbaik dan meraih minit permainan selepas dia menamatkan kontraknya lebih awal bersama FC Midtjylland baru-baru ini.

Malah, jendela perpindahan kedua bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) juga sudah lama ditutup lantas peluang untuk mendaftarnya adalah pada saingan musim depan.

Sementara itu, Cools secara rasmi diumumkan sebagai pemain baharu FK Jablonec semalam.

Menerusi pengumuman rasmi kelab itu, pemain berumur 26 tahun itu dijangka membuat kemunculan sulung bersama FK Jablonec menentang Motorlet dalam Piala Czech esok.





“Dion Cools, bekas pemain FC Midtjylland dan Club Brugge menandatangani kontrak untuk Jablonec. Bekas pemain skuad remaja Belgium dan pemain semasa pasukan kebangsaan Malaysia ini akan beraksi untuk perlawanan Rabu ini (esok),” kata kenyataan kelab itu.

Cools, 26, bakal kembali ke tanah air hujung minggu ini selepas namanya disenaraikan oleh pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon untuk beraksi di King’s Cup, Chiang Mai, Thailand minggu depan.