Slot Piala AFC bakal jadi rebutan

Kuala Lumpur: Tiket ke Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bakal menjadi rebutan antara Sabah, Negeri Sembilan dan Terengganu FC (TFC) selepas slot Liga Juara-Juara Asia (ACL) hampir pasti terus menjadi milik Johor Darul Ta’zim (JDT).

Hal ini kerana JDT sudah pastinya memiliki satu tiket ke Piala AFC susulan kejayaan merangkul Piala FA, Sabtu lalu dan slot itu akan ‘dihadiahkan’ kepada pasukan tangga ketiga Liga Super jika Harimau Selatan mengesahkan kejuaraan Liga Super, sekali gus layak berak di di pentas ACL.



Pasukan naib juara Liga Super pula dijanjikan satu tiket automatik ke Piala AFC musim depan dengan Sabah ketika ini dilihat berpotensi untuk mengisi slot itu.

Penganalisis Liga Malaysia (Liga M) yang juga bekas pemain kebangsaan, Shahrom Kalam bagaimanapun meramalkan drama pemenang perebutan tempat kedua serta ketiga hanya akan diketahui pada hari terakhir perlawanan Liga Super.

“Saya pernah ada pengalaman sebegini pada 2014 semasa dengan Selangor, semuanya sukar diramal dan sesiapa sahaja boleh keciciran mata walaupun bermain di tempat sendiri.




“Tambahan tempat ketiga dijangka akan diberikan slot Piala AFC (berikutan JDT juara Piala FA), saya rasa ini boleh buatkan situasi lagi menarik.

“Jika melihat prestasi semasa, saya meramalkan Negeri Sembilan akan kekal dalam kelompok tiga terbaik di samping dibantu kehadiran Gustavo Almeida yang banyak membantu jentera serangan.

“Sabah pula jika mereka masih belum dapat selesaikan masalah mereka di bahagian hadapan, saya rasa mereka sukar untuk kekal konsisten bagi berada kedudukan sekarang.




“Bagi Terengganu, mereka ada skuad yang banyak pilihan pemain dan jika jurulatih (Nafuzi Zain) boleh kekalkan prestasi sama sehingga hari terakhir perlawanan, mereka juga boleh berada dalam kelompok tiga terbaik,” katanya.

Ketika ini, Sabah berada di tangga kedua dengan 36 mata, hanya dibezakan satu mata dengan Negeri Sembilan yang berada di tangga ketiga.

TFC bagaimanapun berpeluang untuk menamatkan saingan di kelompok tiga teratas biarpun ketinggalan lima mata di belakang kerana mereka masih ada kelebihan satu perlawanan.