Sama ada Perak kaya atau Teong Kim perlu kerja – TMJ

KUALA LUMPUR: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membayangkan hanya ada dua situasi yang memungkinkan Perak FC berjaya mengikat bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim sebagai jurulatih baharu pasukan itu.

Ketika menjawab soalan daripada penyokong dalam satu sesi temubual di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi, Tunku Ismail mendakwa isu kewangan disifatkan menjadi faktor Teong Kim dan The Bos Gaurus berjaya memeterai perjanjian.





“Sama ada Perak betul-betul kaya ataupun dia (Teong Kim) terima gaji lebih kecil kerana tiada kerja. Itu sahaja ceritanya.

“Saya ‘very straightforward’, ” kata Tunku Ismail secara ringkas.

Terdahulu, Tunku Ismail pernah mendedahkan gaji yang tinggi diperlukan untuk mengupah bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu dengan JDT pernah berdepan situasi sama bagi mendapatkan khidmatnya.





“Kalau untuk pembangunan, boleh tetapi berapa gaji dia? Masa dia mahu kerja dengan saya, dia minta 70,000, 80,000 euro (RM327,000-RM374,000) sebulan dan mahu membawa dua lagi pembantunya,” kata Tunku Ismail.

Malah, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga pernah mendedahkan gaji Teong Kim mencecah RM175,000 sebulan tanpa dikenakan cukai ketika dia memegang jawatan sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD).